Rabu, 25 Januari 2012

Isu NFC

yang menggambarkan NFC teruk cuma pembangkang. Apa kata KAN saman pulak pihak pembangkang jika secara jelas mengaitkan LKAN dalam fitnah terhadap NFC.

NFC: Ketua Audit Negara perjelas laporan


2012/01/25
KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara (JAN) menjelaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar kacir, "in a mess" ataupun penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) di Gemas, Negeri Sembilan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam kenyataan hari ini berkata, "Perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan JAN tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan."
Katanya, pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu terpulanglah kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, pada perspektif audit, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan menangguhkan pelaksanaannya pada Mei 2009, iaitu sebelum pengauditan dijalankan, sehingga satu kajian daya maju dan model perniagaan dijalankan.

"Perkara ini ada dinyatakan dalam LKAN 2010. Ia membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek," katanya.

Ambrin berkata, pengauditan bagi projek PFN dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak dan sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah dikesali.

Beliau berkata, analisis audit mendapati objektif projek PFN masih belum dicapai sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor yang dihuraikan dalam LKAN 2010.
"Antaranya, mengikut perjanjian pelaksanaan yang ditandatangani pada Mac 2010, sasaran pengeluaran PFN iaitu 38,600 ekor lembu untuk tahun 2010 belum dicapai kerana Program Pembangunan Usahawan (EDP) yang melibatkan 130 pengusaha ladang satelit belum dilaksanakan lagi," katanya.

Ketua Audit Negara turut menjelaskan bahawa perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dijalankan oleh JAN itu ialah pencapaian projek PFN sejak penubuhannya pada tahun 2006 dan bukannya National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) sebagai sebuah syarikat.

Menurutnya, NFCorp adalah sebuah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di mana Kementerian Kewangan Diperbadankan memegang satu "golden share" bernilai RM1 manakala modal berbayar berjumlah RM1.11 juta telah disumbangkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd.

Ambrin berkata, projek itu diaudit memandangkan ia penting daripada segi pengeluaran makanan negara di mana kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepadanya.

Katanya, ia termasuk peruntukan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjumlah RM73.64 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasiannya.

"Daripada peruntukan ini, sejumlah RM48.71 juta telah dibelanjakan setakat akhir tahun 2010 oleh kementerian itu untuk menyediakan tapak seluas 2,000 hektar bagi projek ini. Kawasan ini kemudian dikurangkan menjadi 800 hektar sahaja," katanya.

Beliau berkata, geran pelancaran untuk penyediaan infrastruktur berjumlah RM13 juta diluluskan kepada NFCorp pada September 2007 dan setakat akhir tahun 2010 sejumlah RM6.52 juta telah dibayar kepada NFCorp untuk penyediaan infrastruktur seperti kandang dan jalan ladang.

Ambrin berkata, pinjaman mudah berjumlah RM250 juta juga telah diluluskan kepada NFCorp menerusi satu perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada Disember 2007 dan setakat Mac 2010, sejumlah RM134.7 juta telah dikeluarkan kepada NFCorp berdasarkan kepada tuntutan yang dibuat kepada Kementerian Kewangan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan