Ahad, 22 Januari 2012

Bela Diri

Harap kes Saiful pun macam ni, baru lepas satu mahkamah. Ada tiga mahkamah lagi...

Karpal diarah bela diri tuduhan menghasut


2012/01/21
Kenyataan pada 2009 cemar kehormatan Sultan Perak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam memerintahkan peguam Karpal Singh membela diri terhadap pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 2009.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Ahmad Ma'arop sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Pengerusi Kebangsaan DAP daripada pertuduhan itu pada 2010.
Hakim Ahmad memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menetapkan 9 Februari bagi sebutan kes Karpal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim itu dalam penghakiman bertulis yang mengambil masa dua jam untuk membacakannya, berkata kenyataan Karpal ialah rasa tidak puas hati terhadap Sultan Perak.

Katanya, kenyataan Karpal mencemarkan kehormatan sultan serta mengakibatkan pertembungan ketamadunan antara hubungan rakyat dan raja.

Karpal dilepaskan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 daripada tuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di pejabatnya di Jalan Pudu Lama, di sini, 6 Februari 2009. Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad berkata, panel tidak menerima hujah Karpal bahawa Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 yang menetapkan bahawa tindakan mempersoalkan hak dan keistimewaan Raja adalah satu kesalahan, tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pada pendengaran rayuan, Julai tahun lalu, Karpal memohon mahkamah mengeluarkan Seksyen 3 (1)(f) dan mengisytiharkan peruntukan itu tidak mengikut perlembagaan kerana Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan membenarkan litigan mendakwa ketua negeri di mahkamah menerusi cara semakan kehakiman.

Hakim Ahmad berkata, semakan kehakiman tidak boleh dibuat terhadap kuasa sultan.

Beliau berkata, kenyataan Karpal pada sidang akhbar itu bahawa sultan tidak menghormati undang-undang dan sultan telah bertindak secara ultra vires Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, telah menimbulkan kebencian. Perkara 16 (6) berkait dengan kuasa sultan untuk melantik menteri besar.

Hakim itu berkata, pihak pendakwaan hanya perlu membuktikan apa yang diperkatakan itu menimbulkan keadaan huru-hara dan tidak perlu untuk menunjukkan niat dalam hasutan.

Beliau berkata, apa yang dinyatakan Karpal tidak termaktub dalam kebebasan bersuara dan sebagai peguam kanan serta Ahli Parlimen, Karpal sepatutnya tahu sempadan dan batasan kebebasan bersuara.

Karpal diwakili empat anaknya iaitu Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur, selain R S N Rayer, Ramesh Sivakumar dan Teoh Lib Peng. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dan Najib Zakaria. Rajpal Singh adalah peguam pemerhati Majlis Peguam.

Di luar mahkamah, Karpal berkata, beliau akan merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan walaupun ada autoriti mahkamah menyatakan sekiranya dipanggil membela diri, ia tidak boleh dirayu kerana ia bukan perintah muktamad.

“Saya menerima keputusan itu pada ketika ini. Kami akan teruskan ke Mahkamah Persekutuan dan kita lihat apa berlaku di sana,” katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan