Sabtu, 26 Februari 2011

banyaknya, betul-betul membazir... kalau guna duit tu untuk pembangunan, pendidikan, pertanian, perkhidmatan, mungkin akan dapat menjana sekali ganda lagi...

RM10.3b kekalkan RON95

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
dan MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON 95 buat masa ini walaupun harga minyak dunia meningkat ekoran pergolakan di beberapa negara di Asia Barat dan Afrika Utara.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya tidak bimbang kerana setiap tindakan kerajaan mengambil kira beban serta kos hidup yang dihadapi oleh mereka.

Untuk itu, katanya, kerajaan bersedia mengeluarkan sejumlah subsidi yang lebih besar bagi memastikan kos perbelanjaan harian rakyat boleh dikawal.

“Setiap keputusan yang kita buat akan mengambil kira beban kepada rakyat. Rakyat tetap menjadi keutamaan kita meskipun terpaksa mengeluarkan jumlah subsidi yang besar.

“Apa yang kita pentingkan sekarang ialah soal belanja atau kos hidup rakyat yang perlu kita kawal supaya kadar inflasi tidak meningkat. Setakat ini, kadarnya masih terkawal. Jika kadarnya tinggi ia akan menjadi satu sungutan di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya persediaan kerajaan mengenai kemungkinan berlaku kenaikan harga minyak dunia secara mendadak berikutan pergolakan di beberapa negara Asia Barat dan Afrika Utara seperti Mesir dan Libya.

Sebagai contoh, Libya telah menghentikan pengeluaran minyak secara perlahan-lahan sejak kelmarin ekoran syarikat minyak yang beroperasi di negara itu menutup kemudahan mereka selepas tunjuk perasaan di negara berkenaan berterusan.

Untuk rekod, harga semasa bagi RON 95 ialah RM1.90 seliter.

Mengulas isu itu Najib berkata, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan buat masa ini berjumlah RM10.3 bilion.

“Dari segi bajet kita telah memperuntukkan subsidi sebanyak RM10.3 bilion untuk tahun ini dan jika tiada perubahan harga (minyak dunia), jumlah subsidi kita akan meningkat agak ketara.

“Namun subsidi ini tidak melibatkan RON 97 kerana ia berdasarkan harga minyak semasa,” katanya lagi.

Mengenai bajet tambahan untuk subsidi sekiranya trend kenaikan minyak dunia terus berlaku beliau berkata, kerajaan akan melihat harga minyak semasa di pasaran dunia.

“Kita perlu lihat harga minyak semasa dunia kerana ia terumbang-ambing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri percaya sekiranya keadaan di Asia Barat dan Afrika Utara reda dalam kadar segera, harga minyak dunia akan turun.

“Jika keadaan di Asia Barat reda dalam keadaan yang segera harga minyak pasti akan turun. Jika turun, harga RON 97 juga turun dan itu yang kita janjikan. Kita hanya kawal RON 95 serta produk yang lain seperti gas asli cecair (LPG) dan diesel,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan