Kecoh 12 OKU berhimpun bantah bunuh sembilan anjing
2010/09/25
BANTING: Perhimpunan aman 12 orang kurang upaya (OKU) dari Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC) bagi membantah tindakan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) membunuh sembilan ekor anjing di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, menjadi tegang seketika selepas berlaku pertikaman lidah dengan sekumpulan orang awam.
Pertikaman lidah berlaku apabila orang awam yang kebetulan berada di perkarangan Bangunan MDKL yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan kumpulan NGO berkenaan yang membuat demonstrasi di situ.
Keadaan tegang itu tercetus sebaik saja sidang media diadakan selepas wakil NGO terbabit bertemu dengan Yang Dipertua (YDP) MDKL, Abdul Razak Jaafar, di lobi bangunan MDKL, semalam. Pertengkaran terbabit tercetus selepas beberapa orang awam yang turut berada di situ mempersoalkan tindakan NGO itu yang berhimpun bagi menyuarakan bantahan terhadap pembunuhan anjing itu selain mendakwa NGO itu tidak sensitif dengan isu pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain, juga di ladang sama.
Bagaimanapun, keadaan tegang selama hampir 15 minit itu berjaya diredakan selepas beberapa pegawai MDKL bertindak sebagai orang tengah bagi menenangkan beberapa individu yang kelihatan emosi.
Presiden ILTC, Francis Siva, berkata tindakan kejam terhadap haiwan berkenaan tidak dapat diterima langsung selain menganggap kejadian terbabit sebagai tindakan yang diambil secara terburu-buru.
Katanya, NGO itu amat kecewa dengan perkara itu dan berharap kerajaan negeri akan menyiasat pihak yang terbabit dengan insiden itu.
"Walaupun Yang Dipertua MDKL sudah meminta maaf berhubung perkara itu, susah untuk kami menerimanya kerana kejadian terbabit sudah berlaku dan ia dilakukan (membunuh) atas alasan anjing itu bertindak agresif dan ganas walhal pada masa sama anjing berkenaan antara spesies anjing yang mesra dan baik,” katanya ketika ditemui di Bangunan MDKL, di sini, semalam.
Beliau berkata, ILTC juga turut mempersoalkan cara pihak bertanggungjawab melakukan kerja itu, apabila sembilan ekor anjing itu dibunuh manakala haiwan lain seperti unggas dan haiwan ternakan yang ada di ladang berkenaan dibawa keluar secara baik.
"Jika haiwan itu boleh dilakukan secara perikemanusiaan, mengapa anjing itu tidak boleh dilakukan dengan cara yang sama? Ini seolah-olah wujud perbezaan kelas antara haiwan ini iaitu haiwan ternakan dari kelas A manakala haiwan dianggap ganas seperti anjing itu pula dari kelas B," katanya.
Sementara itu, dalam sidang media yang berasingan, Abdul Razak mempertahankan tindakan kakitangannya dan mendakwa anggotanya terpaksa bertindak sedemikian selepas diserang anjing terbabit ketika operasi tangkapan sedang dilakukan.
"Kita mendapat permohonan polis untuk mengeluarkan anjing itu selepas ia dikatakan mengganggu kerja pasukan forensik di ladang berkenaan selain ia turut menyerang haiwan ternakan lain yang turut berada di situ.
"Kita juga sudah memaklumkan kepada ILTC bahawa kaedah yang dilakukan ketika tangkapan adalah secara menjerut anjing berkenaan dan kemudian menyuntiknya dengan menggunakan ubat pelali berdos tinggi kerana anjing itu adalah dari spesis yang berbahaya dan pemiliknya juga didapati tidak mempunyai lesen untuk memeliharanya," katanya.
Sabtu, 25 September 2010
Nyawa anjing lebih berharga
Nyawa manusia atau nyawa anjing lebih berharga...? Kadang-kadang isu begini pun nak diputar. Kenapa manusia yang diperlakukan lebih teruk dan kejam dari anjing dia orang ni tak kecoh pun.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan